Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 14

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yesus menjanjikan Roh Kebenaran

15"Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku. 16Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. 17Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap di dalammu dan akan ada di dalam dirimu.

18Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu. 19Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab Aku hidup, kamu juga akan hidup. 20Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu.

21Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya."

22Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, "Tuhan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?"

23Yesus menjawab, "Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya. 24Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, padahal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku.

25Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu. 26Namun demikian, Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu.