Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Nehemia 3

A A A
Alkitab Versi Borneo

Peserta yang terlibat dalam pembinaan tembok

1Imam Besar Elyasib bersama dengan saudara-saudaranya, para imam, segera membina semula Pintu Gerbang Domba. Mereka menyucikannya dan memasang pintu-pintunya sampai sejauh Menara Mea dan Menara Hananeel.

2Di sebelah mereka orang Yerikho membina; dan di sebelah orang Yerikho Zakur anak Imri membina.

3Pintu Gerbang Ikan dibina oleh bani Senaa. Mereka meletakkan galang-galangnya dan memasang pintu-pintunya serta pengancing-pengancing dan palang-palangnya.

4Di sebelah mereka Meremot anak Uria anak Hakos menjalankan kerja-kerja pembaikan, manakala di sebelah Meremot pula ialah Mesulam anak Berekhya anak Mesezabeel dan seterusnya Zadok anak Baana juga menjalankan kerja-kerja pembaikan.

5Di sebelah Zadok kalangan Tekoa menjalankan kerja-kerja pembaikan, tetapi kaum bangsawan mereka tidak mahu berganding bahu demi berkhidmat kepada para pemimpin mereka.

6Pintu Gerbang Lama diperbaik oleh Yoyada anak Paseah dan Mesulam anak Besoja. Mereka meletakkan galang-galangnya dan memasang segala pintunya berserta pengancing dan palangnya.

7Di sebelah mereka Melaca, orang Gibeon, dan Yadon, orang Meronot, menjalankan kerja pembaikan bersama-sama orang Gibeon dan Mizpa yang berada di bawah bidang kuasa pembesar daerah seberang Sungai Efrat.

8Di sebelah mereka Uziel anak Harhaya, salah seorang tukang emas, menjalankan kerja pembaikan, dan di sebelahnya lagi Hananya, salah seorang tukang campur rempah-rempah, juga menjalankan kerja pembaikan. Mereka memperkukuh Yerusalem sampai ke Tembok Lebar.

9Di sebelah Hananya, Refaya anak Hur iaitu seorang pemimpin bagi separuh daripada daerah Yerusalem, menjalankan kerja pembaikan, 10dan di sebelahnya Yedaya anak Harumaf menjalankan kerja pembaikan berhadapan dengan rumahnya. Di sebelahnya pula, Hatus anak Hasabneya menjalankan kerja pembaikan.

11Malkia anak Harim dan Hasub anak Pahat-Moab memperbaik bahagian yang lain serta Menara Ketuhar, 12manakala di sebelah mereka, Salum anak Halohes, pemimpin separuh daripada daerah Yerusalem, menjalankan kerja pembaikan bersama-sama anak-anak perempuannya.