Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 37

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kemuliaan Allah di alam semesta

1"Kerana hal itu juga hatiku gentar

dan melompat dari tempatnya.

2Dengarlah baik-baik gegak-gempita suara-Nya,

gemuruh yang keluar daripada mulut-Nya;

3Dia melepaskannya ke seluruh kolong langit,

juga kilat-Nya ke hujung-hujung bumi.

4Kemudian ada suara menderu,

Dia bergemuruh dengan suara-Nya yang agung.

Kilat tidak ditahan-Nya ketika suara-Nya terdengar.

5Allah bergemuruh secara ajaib dengan suara-Nya,

dilakukan-Nya hal-hal besar yang tidak tercapai oleh pengetahuan kita.

6Kepada salji Dia berfirman, 'Jatuhlah ke bumi,'

begitu pula kepada hujan rintik-rintik dan hujan lebat, 'Jadilah hujan deras.'

7Dia menahan tangan setiap manusia,

supaya semua orang mengetahui perbuatan-Nya.

8Lalu binatang masuk ke tempat persembunyiannya

dan tinggal di dalam sarangnya.

9Angin puyuh keluar dari biliknya,

dan hawa dingin dari angin yang memecah.

10Nafas Allah menjadikan ais,

dan perairan yang luas membeku.

11Dia pun menepukan awan dengan air,

dan awan memencarkan kilat-Nya.

12Awan itu beredar ke sana ke mari dengan tuntunan-Nya

untuk melakukan apa-apa pun yang diperintahkan-Nya di muka bumi.

13Dia mendatangkannya sama ada sebagai tongkat ajaran,

sebagai berkat bagi bumi-Nya,

ataupun sebagai wujud kasih abadi.

14Dengarlah hal ini, wahai Ayub.

Diamlah dan perhatikanlah keajaiban-keajaiban Allah.

15Tahukah engkau bagaimana Allah menetapkan semuanya

dan menyinarkan kilat dari awan-Nya?

16Tahukah engkau tentang melayangnya awan,

tentang segala keajaiban daripada Dia yang sempurna pengetahuan-Nya?

17wahai engkau, yang pakaiannya menjadi panas

ketika Dia meneduhkan bumi dengan angin selatan,

18dapatkah engkau menyertai Dia membentangkan langit,

yang kuat seperti cermin tuangan?

19Beritahu kami apa yang harus kami katakan kepada-Nya.

Kami tidak dapat menyusun perkataan kerana kegelapan.

20Haruskah diberitahu kepada-Nya bahawa aku hendak berbicara?

Adakah orang berkata bahawa dia ingin dibinasakan?

21Sekarang orang tidak melihat cahaya yang cemerlang di langit,

tetapi angin bertiup dan menjernihkannya.

22Dari arah utara datang sinar keemasan.

Allah berselubung dengan kemegahan yang menggerunkan.

23Yang Maha Kuasa tidak dapat kita fahami.

Besar kekuatan dan keadilan-Nya.

Dalam perbenaran-Nyai yang berlimpahan, Dia tidak pernah menindas.

24Itulah sebabnya orang takut kepada-Nya,

Dia tidak mengendahkan semua orang yang mengaku berhati bijak."