Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 16

A A A
Alkitab Versi Borneo

Daud dilantik menjadi raja

1Berfirmanlah Tuhan kepada Samuel, "Berapa lama lagi engkau akan berdukacita atas Saul kerana Aku telah menolak dia sebagai raja atas Israel? Isilah tabung tandukmu dengan minyak dan pergilah. Aku mengutus engkau kepada seorang Betlehem bernama Isai, kerana Aku telah memilih bagi-Ku seorang raja daripada kalangan anaknya."

2Kata Samuel, "Masakan aku boleh pergi? Jika Saul mendengarnya, tentu dia akan membunuhku."

Firman Tuhan, "Bawalah seekor lembu betina yang muda dan katakan, 'Aku datang untuk mempersembahkan korban di hadapan Tuhan.' 3Undanglah Isai ke upacara korban itu, dan Aku akan menunjukkan kepadamu apa yang harus kamu lakukan. Lantiklah bagi-Ku orang yang akan Kusebutkan kepadamu."

4Samuel pun melakukan apa yang difirmankan Tuhan. Ketika dia tiba di Betlehem, tua-tua kota itu menyongsong dia dengan gementar. Tanya mereka, "Apakah tuan datang dengan damai sejahtera?"

5Jawabnya, "Ya, dengan damai sejahtera. Aku datang untuk mempersembahkan korban di hadapan Tuhan. Sucikanlah dirimu dan datanglah untuk bersama-samaku ke upacara korban ini." Lalu dia mentahbiskan Isai dan anak-anaknya serta mengundang mereka ke upacara korban itu.

6Pada waktu mereka datang, Samuel memandang Eliab dan berfikir, "Sesungguhnya, orang yang akan dilantik Tuhan sedang berdiri di hadapan-Nya." 7Tetapi firman Tuhan kepada Samuel, "Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, kerana Aku telah menolak dia. Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi Tuhan melihat hati."