Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 11

A A A
Alkitab Versi Borneo
21Marta berkata kepada Yesus, "Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup! 22Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah."

23Yesus berkata kepada Marta, "Saudaramu akan hidup kembali."

24Marta menjawab, "Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir."

25Yesus berkata kepada Marta, "Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. 26Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?"

27Marta menjawab, "Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini."

28Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maria dan berbisik kepadanya, "Guru ada di sini. Dia memanggilmu." 29Maria pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Yesus. 30Pada waktu itu Yesus belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya. 31Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maria untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.

32Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, "Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!"

33Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu. 34Dia bertanya kepada mereka, "Di manakah kamu letakkan dia?"

Mereka menjawab, "Marilah lihat, ya Tuhan."

35Yesus menangis.