Alkitab Versi Borneo |
Yesus mengajar Nikodemus 1Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi daripada golongan Farisi yang bernama Nikodemus. 2Dia mengunjungi Yesus pada suatu malam lalu berkata, "Rabbi, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya." 3Yesus menjawab, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah." 4Nikodemus bertanya, "Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!" 5Yesus menjawab, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan daripada air dan Roh Kudus, dia tidak akan masuk ke dalam kerajaan Allah. 6Yang dilahirkan manusia ialah manusia, dan yang dilahirkan Roh ialah roh. 7Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula. 8Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Kudus." 13Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. 14ASebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Anak Manusia akan diangkat 15supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal. 16Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.