Alkitab Versi Borneo |
Gideon diangkat menjadi hakim
11Kemudian datanglah Malaikat TUHAN dan duduk di bawah pokok oak di Ofra, kepunyaan Yoas, orang Abiezer itu, sedang Gideon, anaknya, mengirik gandum di tempat pemerasan anggur agar terselamat hasilnya daripada orang Midian. 12Malaikat TUHAN menjelma di hadapannya lalu berkata kepadanya, "TUHAN menyertai engkau, wahai pahlawan yang gagah berani."
13Gideon pun menjawab, "Ya, Tuan, jika TUHAN menyertai kami, mengapakah kesemua petaka ini menimpa kami? Di manakah segala mukjizat-Nya yang diceritakan nenek moyang kami kepada kami, ketika mereka berkata, 'Bukankah TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir?' Tetapi sekarang TUHAN meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke dalam cengkaman orang Midian."
14TUHAN berpaling kepadanya dan berfirman, "Pergilah dengan kekuatanmu ini dan selamatkanlah orang Israel daripada cengkaman orang Midian. Bukankah Aku mengutus engkau?"
15Namun begitu, Gideon menjawab-Nya, "Ya Tuhan, bagaimanakah dapat aku selamatkan orang Israel? Lihatlah, kaumku yang terkecil antara semua suku Manasye, malah aku pula yang paling muda antara kaum keluargaku." 16Berfirmanlah TUHAN kepadanya, "Pasti Aku akan menyertai engkau dan engkau akan menumpaskan kaum Midian itu."
Alamat pada bulu domba 36Kemudian Gideon berkata kepada Allah, "Jika Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku, seperti yang Kaufirmankan itu, 37aku akan membentangkan bulu domba di tempat pembantingan; apabila embun hanya ada di atas bulu domba itu walhal seluruh tanah di situ kekal kering, tahulah aku bahawa Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku, seperti yang Kaufirmankan." 38Dan demikianlah terjadi. Keesokan harinya pagi-pagi dia bangun dan memerah bulu domba dan semangkuk penuh air embun dapat diperahnya daripada bulu domba itu. 39Gideon pun berkata kepada Allah, "Semoga tidak berbangkit kemurkaan-Mu terhadap aku apabila aku berkata sekali lagi sahaja; biarkanlah aku sekali lagi sahaja menguji bulu domba ini, kali ini semoga kekeringan hanya pada bulu domba ini sedangkan ada embun di atas seluruh tanah itu." 40Demikianlah Allah lakukan pada malam itu tatkala hanya bulu domba itu yang kering walhal embun berada di atas seluruh tanah itu.