Alkitab Versi Borneo |
Pendahuluan 1ADaripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai rasul Kristus Yesus, dan daripada saudara kita, Timotius, Kepada jemaah di Korintus dan kepada semua orang salih yang tinggal di Akhaya: 2Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera. Allah sumber segala penghiburan 3Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa Yang Maha Pemurah dan Allah sumber segala penghiburan. 4Dia menghibur kami dalam pelbagai kesusahan, supaya kami pula dapat menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kami terima sendiri daripada Allah. 5Sebagaimana banyaknya penderitaan Kristus yang telah kami alami, begitulah banyaknya penghiburan yang kami terima daripada-Nya. 6Jika kami menanggung kesusahan, itu adalah untuk menghibur kamu dan untuk penyelamatanmu. Jika kami dihibur, itu akan menghibur kamu juga, supaya kamu tetap tabah menanggung penderitaan yang telah kami alami juga. 7Kami tetap menaruh harapan tentang kamu, kerana kami tahu, jika kamu mengalami penderitaan seperti yang kami alami, maka kamu juga akan menerima penghiburan seperti yang kami terima. 8BKami juga hendak memberitahumu, saudara-saudara, tentang kesusahan yang telah menimpa kami di Asia Kecil. Beban kami sungguh berat, lebih daripada yang terdaya kami tanggung, sehingga kami putus asa untuk terus hidup. 9Kami berasa bagaikan telah dijatuhi hukum mati. Namun demikian, itu telah berlaku supaya kami tidak lagi berharap kepada diri sendiri tetapi kepada Allah yang menghidupkan semula orang mati. 10Dialah yang telah melepaskan kami daripada bahaya yang amat dahsyat, dan Dialah yang akan melepaskan kami. Kami menaruh harapan kepada-Nya, bahawa Dia akan melepaskan kami.