Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Tesalonika 5

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Saudara-saudara, soal tentang masa dan detiknya tidaklah perlu kami tulis kepadamu. 2AKamu cukup mengetahui hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari. 3Ketika orang berkata, "Segalanya aman tenteram," maka ketika itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dalam sekelip mata, seperti seorang perempuan ditimpa rasa sakit semasa akan melahirkan anak. Tiada siapa pun dapat melepaskan diri. 4Tetapi, saudara-saudara, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti datangnya pencuri. 5Kamu semua anak cahaya, anak siang. Kita bukanlah makhluk malam atau kegelapan. 6Oleh yang demikian, janganlah kita tidur seperti orang lain. Marilah kita berjaga dan berkeadaan siuman. 7Orang yang tidur, tidur pada waktu malam. Orang yang mabuk, mabuk pada waktu malam. 8BTetapi kita anak-anak siang, hendaklah sentiasa waras dan waspada. Jadikan iman dan kasih perisai dada kita, serta harapan diselamatkan sebagai ketopong pelindung kepala. 9Allah memilih kita bukannya untuk menanggung kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. 10Yesus telah mati untuk kita supaya kita dapat hidup bersama-Nya sewaktu Dia datang nanti, sama ada kita terjaga atau tertidur mati pada masa itu. 11Oleh yang demikian, hendaklah kamu saling menggalakkan dan meneguhkan, sebagaimana yang kamu lakukan sekarang.