Alkitab Versi Borneo |
15Perempuan itu pun pergi dan bertindak selaras dengan perkataan Elia. Maka perempuan itu berserta dengan keluarganya dan juga Elia dapat makan selama beberapa waktu. 16Tepung dalam tempayan itu tidak pernah habis dan minyak dalam buyung itu tidak juga berkurang, selaras dengan firman yang disampaikan Tuhan dengan perantaraan Elia. 17Tidak berapa lama sesudah peristiwa itu, anak lelaki perempuan pemilik rumah itu jatuh sakit. Sakitnya amat parah sehingga anak itu berhenti bernafas. 18Kata perempuan itu kepada Elia, "Apa masalahku dengan engkau, ya hamba Allah? Engkau telah singgah di tempatku untuk mengingatkan kesalahanku dan untuk membunuh anakku." 19Kata Elia, "Bawalah anakmu itu kepadaku." Lalu diambilnya anak itu daripada pangkuan ibunya, dibawanya naik ke bilik atas tempat dia tinggal, dan dibaringkannya di tempat tidurnya. 20Kemudian berserulah dia kepada Tuhan, katanya, "Ya Tuhan Allahku, adakah Engkau mendatangkan malapetaka ke atas balu yang menerima aku sebagai pendatang ini, dengan membunuh anaknya?" 21ALalu dia mengunjurkan tubuhnya di atas anak itu tiga kali dan berseru kepada Tuhan, katanya, "Ya Tuhan, Allahku, kembalikanlah kiranya nyawa anak ini ke dalam tubuhnya." 22Tuhan mendengar seruan Elia. Nyawa anak itu pun kembali ke dalam tubuhnya sehingga dia hidup lagi. 23Elia mengambil anak itu, membawanya turun dari bilik atas ke dalam rumah, dan menyerahkannya kepada ibunya. Kata Elia, "Lihatlah, anakmu hidup." 24Kata perempuan itu kepada Elia, "Sekarang aku tahu bahawa engkau ini hamba Allah, dan firman Tuhan yang kaukatakan itu benar."