Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Tentang L.A.B. Network

Logo LAB Network

PEJABAT URUSAN
Lot 6, Ground Floor, HTM Industrial Estate Kolombong
88450 Kota Kinabalu Sabah.
Operations Officer: Telephone : +60 13 8627897 Email: labnetworkoperation@gmail.com

Mission:
To enhance biblical scholarship amongst the Bahasa Malaysia speaking Christian community by making available biblical literatures of the highest quality in Bahasa Malaysia and to nuture the development of biblical scholars amongst the gifted BM-speaking Christians.

LATAR BELAKANG

Apabila usaha penterjemahan hampir siap, isu pemilikan hakcipta, percetakan dan pengedaran menjadi perkara-perkara penting untuk ditangani. Pasukan itu telah dinasihati untuk merunding dengan beberapa pihak tertentu, termasuk Persatuan Alkitab Malaysia. Pada masa yang sama, penglibatan pihak-pihak dari Sabah dan Sarawak dianggap penting untuk memelok dan memelihara terjemahan baru ini.

Akhirnya, inisiatif daripada persekutuan para pastor dan pemimpin Sabah bersetuju mengambilalih tanggungjawab tersebut. L.A.B. Network disarankan untuk melaksanakan projek ini. Demi untuk memastikan tahap penerimaan yang meluas, wawasan ini dikongsikan dengan para pemimpin Commission on Sabah Affairs (COSA), SCC, Methodist Annual Conference, pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak, dan Pertubuhan-pertubuhan Kristian di Malaysia Barat.

Pada 27 Januari 2015, Jawatankuasa LAB Network bermesyuarat di Sabah secara rasmi untuk pertama kali, untuk menentukan peranan, proses dan tindakan-tindakan yang perlu. Singkatan “LAB” ditetapkan untuk membawa maksud “Literature And Bible”.

LAB Network kini merupakan entiti komersil di Kota Kinabalu untuk menerbit dan memasarkan Alkitab baru ini, iaitu Alkitab Versi Borneo. Visi LAB Network juga dirumuskan, iaitu untuk meningkat kesarjanaan Alkitabiah dalam kalangan Kristian melalui penerbitan hasil Alkitabiah yang paling tinggi mutunya dalam bahasa Malaysia. 

 

PENGANTAR DARIPADA LAB NETWORK

LAB Network ditubuhkan untuk meningkatkan kesarjanaan dalam kajian-kajian Alkitabiah bagi komuniti Kristian Malaysia yang menggunakan bahasa Malaysia, khususnya dengan cara mengeluarkan kepustakaan Alkitabiah yang paling tinggi mutunya dalam bahasa Malaysia.

Negeri Sabah dan Sarawak mempunyai banyak kumpulan etnik kecil dengan bahasa etnik yang berbeza. Bagi para pendidik Kristian mempelajari semua bahasa etnik demi menjalankan tanggungjawab mereka amat mencabar. Dalam keadaan yang sedemikian, bahasa Malaysia telah pun digunakan di gereja kedua-dua buah negeri tersebut kira-kira lebih seratus tahun yang lalu, untuk tujuan pendidikan Kristian, terutamanya di kawasan pedalaman.

Alkitab bahasa Indonesia telah diterima sekian lama dan dijadikan rujukan asas sebahagian besar jemaah berbahasa Malaysia. Akan tetapi, bahasa Indonesia semakin susah difahami oleh kebanyakan pengguna tempatan kerana tatabahasa, struktur ayat serta istilah-istilah yang agak berlainan daripada bahasa Malaysia.

Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang digunakan sebagai alat perhubungan antara penduduk yang berbilang bahasa, kaum dan budaya. Lalu, Alkitab dalam bahasa Malaysia yang bermutu tinggi dianggap sebagai satu kemestian. Kini, sudah tibanya masa bagi kalangan Kristian di Malaysia untuk mengutamakan peng­gunaan Alkitab dalam bahasa kebangsaan serta menjadikannya sebagai kebanggaan bangsa.

Oleh yang demikian, LAB Network kini mengorak langkah mengendalikan projek pertama, iaitu menerbitkan teks Alkitab yang paling tinggi mutunya, yang akan menyumbang ke arah membina gereja Malaysia. Terjemahan Alkitab baru yang diidamkan harus menepati kejituan kepada teks asal, dengan penuh ketelitian dan kesetiaan kepada pemikiran penulis kitab asal, agar sesuai digunakan untuk pengkajian, pendidikan, khutbah, penghafazan, pembacaan awam dan liturgi Kristian.

Bagi mencapai matlamat ini dalam masa terdekat, LAB Network telah menggembleng tenaga beberapa lapisan kepakaran, baik pakar tempatan mahupun dari luar negara. Maka berhasillah satu terjemahan Alkitab Versi Borneo dalam bahasa Malaysia terkini dalam bentuk bahasa formal dan harfiah.

Alkitab Versi Borneo itu merupakan suatu penterjemahan yang baru, dibuat berasaskan sepenuhnya teks Ibrani dan Yunani oleh satu pasukan pakar tempatan serta dibantu oleh pakar dari luar negara. Mutu terjemahan Alkitab ini dikawal oleh pakar bahasa yang berwibawa dan hamba-hamba Tuhan yang berpengalaman luas dalam karya terjemahan dan penulisan Kristian.

Pasukan penterjemah telah memulakan usaha awal sekitar penghujung tahun 90-an. Tidak lama kemudian, satu jawatankuasa penyelia yang terdiri daripada pemimpin gereja yang bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menggubah dasar-dasar bagi penyeragaman istilah serta menggembleng tenaga kerja yang terdiri daripada ahli-ahli bahasa Ibrani dan Yunani, para penyemak dan peneliti teks.

Istilah-istilah yang baru diperkenalkan dalam Alkitab Versi Borneo diterangkan dengan lebih lanjut, sama ada dalam nota kaki pada halaman yang sama ataupun dalam Kamus Alkitab. Besarlah harapan kiranya istilah-istilah baru yang diseragamkan dalam bahasa Malaysia akan membantu usaha membangunkan lagi taraf kesarjanaan Alkitabiah tempatan.

Seperti semua karya terjemahan Alkitab, kerja-kerja terjemahan belum selesai sepenuhnya dan masih ada lagi yang boleh dipertingkatkan lagi. Namun demikian, kami bersyukur kepada Allah atas tindakan ajaib-Nya menyempurnakan satu tugas yang merupakan detik bersejarah dalam gereja Malaysia. Dengan penuh syukur, kami mempersembahkan versi Alkitab ini kepada kemuliaan Nama-Nya, serta berdoa agar melaluinya sebanyak mungkin insan akan dapat memahami Kitab Suci dengan lebih lengkap serta mengenal Yesus Kristus, Jelmaan Firman yang hidup.

LAB Network

Penerbit Alkitab Versi Borneo

Malaysia

Januari 2016