Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Tentang ALKITAB VERSI BORNEO

Alkitab Versi Borneo (AVB) ialah terjemahan terbaru dalam bahasa Malaysia. Edisi pertamanya diterbitkan pada pertama kalinya dalam tahun 2016. Edisi Kedua serta Edisi Pelajar juga kini diedarkan mulai Februari 2017.

Alkitab Versi Borneo merupakan terjemahan Alkitab yang penting dari segi sejarah, sebagai terjemahan formal yang pertama dalam Bahasa Malaysia.

Presiden Trinity Annual Conference, Gereja Methodist Malaysia, Rev. T. Jeyakumar, berkata: 

“Saya sering memberitahu ramai orang, bahawa banyak terjemahan lain menerangkan pikiran, tetapi AVB berbicara kepada hati.”

https://ms.wikipedia.org/wiki/Alkitab_Versi_Borneo

 

PROJEK PENTERJEMAHAN

AVB merupakan satu terjemahan baru yang mengambil tempoh masa sepanjang 15 tahun untuk disempurnakan.

TUHAN menyediakan satu pasukan nukleus yang terdiri daripada penterjemah utama dan penterjemah professional yang memulakan kerja pada tahun 1998. Ahli linguistik dan para pendidik yang berkelayakan tinggi dalam bahasa Melayu klasik dan moden menyumbangkan kepakaran mereka dalam mengindahkan seni bahasa dan mengukuhkan kejelasan makna perkataan, manakala penterjemah-penterjemah yang lain menumpukan perhatian yang lebih kepada ketepatan teologi dan kesetiaan kepada maksud asal penulis kitab. Draf teks Alkitab kemudian diuji oleh penutur-penutur asli. Semakan selanjutnya dibuat oleh pasukan konsultan yang terdiri daripada pakar-pakar Bahasa Ibrani, Yunani dan ahli teologi.

Selanjutnya, perisian penterjemahan Alkitab yang terkini digunakan sepenuhnya untuk menyelaraskan perbendaharaan kata, istilah-istilah alkitabiah yang utama dan perenggan-perenggan ayat suci yang selari atau berulang di beberapa tempat, supaya menepati kejituan penterjemahan berasaskan teks dalam bahasa asalnya.

Tidak ketinggalan juga ialah pemimpin-pemimpin gereja utama yang memberi penyeliaan dan dukungan spiritual kepada pasukan penterjemah sepanjang tempoh projek.

KENAPA TERJEMAHAN BARU DIPERLUKAN

Negeri Sabah dan Sarawak mempunyai banyak kumpulan etnik kecil dengan bahasa etnik yang berbeza. Bagi para pendidik Kristian mempelajari semua bahasa etnik demi menjalankan tanggungjawab mereka amat mencabar. Dalam keadaan yang sedemikian, bahasa Malaysia telah pun digunakan di gereja kedua-dua buah negeri tersebut kira-kira lebih seratus tahun yang lalu, untuk tujuan pendidikan Kristian, terutamanya di kawasan pedalaman.

Alkitab bahasa Indonesia telah diterima sekian lama dan dijadikan rujukan asas oleh sebahagian besar jemaah berbahasa Malaysia. Akan tetapi, bahasa Indonesia semakin susah difahami oleh kebanyakan pengguna tempatan kerana tatabahasa, struktur ayat serta istilah-istilah yang agak berlainan daripada bahasa Malaysia. 

Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang digunakan sebagai alat perhubungan antara penduduk yang berbilang bahasa, kaum dan budaya. Oleh itu, Alkitab dalam bahasa Malaysia yang bermutu tinggi dianggap akan memainkan peranan penting bagi kemajuan kalangan Kristian di Malaysia, apatah lagi apabila bahasa Malaysia terkini banyak mengalami perubahan terutamanya dalam pengayaan perbendaharaan kata serta struktur.

AVB ialah sebagai sebuah penerbitan yang bermutu tinggi dalam bahasa Malaysia terkini, menepati kejituan kepada teks asal, dengan penuh ketelitian dan kesetiaan kepada pemikiran penulis kitab asal, agar sesuai digunakan untuk pengkajian, pendidikan, khutbah, penghafazan, pembacaan awam dan liturgi Kristian.

Surat Pengiktirafan bagi AVB

AVB diiktiraf oleh Mesyuarat Majlis Gabungan SIB Sabah, SIB Sarawak & SIB Semenanjung

 

KEISTIMEWAAN AVB

Mutu terjemahan yang terkawal ketat oleh pakar-pakar bahasa tempatan dan tenaga kerja yang berpengalaman luas dalam karya terjemahan dan penulisan Kristian. Kepakaran bahasa teks Ibrani dan Yunani diperoleh sebahagiannya daripada pakar-pakar tempatan dan sebahagiannya daripada pakar-pakar dari kawasan serantau dan luar negara.

Apabila terdapat kekurangan perbendaharaan perkataan dalam bahasa kebangsaan, peristilahan baru diperkenalkan dan disokong oleh keterangan lebih lanjut, sama ada dalam nota kaki pada halaman yang sama ataupun dalam Kamus Alkitab yang disediakan bersama. Matlamatnya mulia, iaitu membantu dalam usaha membangunkan lagi taraf kesarjanaan Alkitabiah tempatan.

Amalan ini biasa dan tidak menjejaskan kesarjanaan Alkitabiah, kerana naskhah asalnya yang tertulis dalam bahasa Ibrani serta Yunani tidak pernah berubah. Rujukan mendalam masih boleh dijalankan apabila teks asalnya dikaji dengan terperinci.

Juga ternyata bahawa penggunaan istilah yang dialihhurufkan daripada bahasa Inggeris dielakkan. Ciri-ciri ini akan disambut baik selaras dengan resam bagi sebuah naskhah yang kuno iaitu Alkitab. Pengukuhan keaslian bahasa Malaysia akan juga disambut baik oleh kalangan masyarakat linguistik. 

Antara istilah istimewa yang diperkenalkan buat pertama kali dalam hasil kepustakaan Melayu ialah perbenaran atau “righteousness” (dalam bahasa Inggeris), yang dibezakan secara secara semantik daripada perkataan tradisional “kebenaran” atau “truth”.

Contoh istilah lain yang masih belum dikenali secara meluas oleh masyarakat Kristian ialah: jururasa santapan (untuk cupbearer), batu pejal (untuk ‘solid rock’), roh durjana (untuk evil spirit), azab (untuk plaques as divine retribution).

PENTERJEMAHAN NAMA ILAHI

Antara ciri-ciri penting AVB ialah nama dan gelaran Ilahi dalam Bahasa Malaysia yang dipiawaikan seperti berikut:

a) Perkataan Asal (Ibrani): יָהּ (YAH) atau יְהוָה (YHVH / YEHOVAH)

     Terjemahan dalam BM: TUHAN (semuanya huruf besar) ( “LORD”)

b) Perkataan Asal (Ibrani): יָהּ (ADONAY) Perkataan Asal (Yunani): κυριος (KURIOS)

     Terjemahan dalam BM: Tuhan (“Lord”)

c) Perkataan Asal (Ibrani): אֵל - EL atau אֱלֹוהַּ - ELOAH atau אֱלֹהִים - ELOHIM

     Perkataan Asal (Yunani): θεος (THEOS)

     Terjemahan dalam BM: Allah  (“God”)

d) Perkataan Asal (Ibrani): YAH YEHOVAH

     Terjemahan dalam BM: TUHAN ALLAH    (“LORD GOD”)

e) Perkataan Asal (Ibrani): YEHOVAH ELOHIM

      Terjemahan dalam BM: TUHAN Allah   (“LORD God”)

f) Perkataan Asal (Ibrani): ADONAY YAHOVAH

     Terjemahan dalam BM: Tuhan ALLAH     (“Lord GOD”)

 

Kami memperakukan AVB sebagai sebuah Alkitab yang tinggi mutunya, dalam bahasa yang lancar dan menawan untuk dinikmati oleh generasi baru.

 

Segala pujian kepada TUHAN!